JDT 0 NAGOYA 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak memberi laluan mudah kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus, sebelum akur kalah tipis dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, sebentar tadi.


Pertemuan Kumpulan G di Stadium Rajamangala itu menyaksikan Harimau Selatan memberi saingan sengit tetapi gol tunggal perlawanan menerusi Hiroyuki Abe pada minit ke-60 menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan.

JDT sukar keluar daripada bahagian tengah lawan sekitar 20 minit.


Pertahanan JDT yang dikawal Mauricio, Shane Lowry, La'Vere Corbin-Ong dan S. Kunanlan kerap diasak menerusi penyerang import seteru itu, Mateus dos Santos Castro, sebelum kelincahan Arif Aiman Hanafi dan pemain import, Bergson da Silva, mula memberi tekanan kepada lawan.

Dalam masa sama, Nagoya segera bertindak keras bagi menutup sebarang ruang kepada kedua-dua pemain terbaik untuk menutup separuh masa pertama tanpa jaringan.

JDT mula mencengkam bahagian dan berkesempatan mengatur beberapa serangan, sebaliknya Nagoya lebih senang mengatur serangan balas.

Kekebalan benteng anak buah Benjamin Mora itu akhirnya runtuh jua apabila Abe mudah menyudahkan peluang terhidang di depan gawang yang berpunca daripada gerakan menarik yang memerangkap mereka.






JDT tidak berlengah untuk membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Ramadhan Saifullah, Safiq Rahim, Akhyar Rashid, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Matthew Davies namun masih belum dapat mengubah nasib mereka.

Bergson menyangka dia sudah mengikat kedudukan 1-1 ketika merobek gawang Nagoya pada penghujung permainan, namun ia dibatalkan selepas dia dipersalahkan kerana menolak Shinnosuke Nakatani.

Sentuhan itu menyimpulkan mereka belum cukup tajam memandang hanya satu daripada enam percubaan mampu disasar tepat ke pintu gol lawan.

Tugas JDT seterusnya ialah berdepan wakil tuan rumah, Ratchanburi -- yang terlebih dahulu kecundang 0-2 kepada Pohang Steelers -- pada Jumaat ini.