Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, berkata adalah tidak mustahil untuk pasukannya menewaskan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai, dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Tambahnya, dia menaruh kepercayaan tinggi kepada seluruh barisan pemainnya untuk menewaskan juara dua kali itu, terutama selepas memperoleh kemenangan besar 5-0 ke atas Guangzhou FC dalam perlawanan pertama.

Di atas kertas, kelebihan ternyata memihak Ulsan selaku juara dua kali dan naib juara Liga Korea tetapi Mora, ketika ditanya wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, berkata pasukannya akan turun beraksi dengan keyakinan tinggi bagi memungut tiga mata kedua.

"Kami gemar memecahkan rekod, itulah yang kami selalu lakukan," katanya dalam sidang media.

"Kami gemar untuk mencabar diri kami melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Kami sebelum ini tidak pernah menewaskan pasukan Jepun, kemudian kami menewaskan Kashima (Antlers) pada 2019.

"Harap-harap kami akan melakukan yang lebih baik selepas ini," katanya.