AC Milan mengutuk ejekan perkauman yang dilakukan penyokong Lazio ke atas Franck Kessie dan Tiemoue Bakayoko dalam separuh akhir kedua Coppa Italia, semalam.

Terdapat laporan mendakwa kedua-dua pemain tengah Milan itu menjadi mangsa ejekan "monyet" sewaktu tewas 0-1 kepada Lazio di San Siro.

Laporan turut mendakwa terdapat patung pisang yang dirampas di kawasan tempat duduk penyokong pelawat manakala kumpulan 'ultras' telah berarak dengan sepanduk yang memuji bekas diktator, Benito Mussolini, sebelum perlawanan bermula.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kelab itu berkata: "AC Milan mengutuk segala bentuk isu perkauman dan diskriminasi berikutan insiden dalam perlawanan separuh akhir Coppa Italia di antara AC Milan dan SS Lazio malam tadi.

"Sorakan dan suara monyet yang ditujukan kepada Franck Kessie dan Tiemoue Bakayoko dapat didengar sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

"Sepanjang sejarah 120 tahun, Rossoneri sentiasa menghormati nilai-nilai sukan, penghormatan dan penyatuan yang menjadi asas terhadap segala yang kami lakukan.

"Kelab ini ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain daripada kedua-dua pasukan di atas sikap profesional dan adil, juga kepada peminat yang sentiasa menyokong pasukan dengan tingkah laku yang bertanggungjawab walaupun keadaan kian diburukkan dengan satu episod yang tidak dapat diterima.

"AC Milan berasakan adalah kewajipan untuk melaporkan insiden serius itu kepada badan-badan sukan tertinggi dengan harapan setiap pihak akan memberikan komitmen bagi melaksanakan langkah-langkah untuk menghapuskan isu perkauman di semua stadium."

Pengerusi Eksekutif Milan, Paolo Scaroni, menambah: "Ia amat mengecewakan untuk menonton perlawanan penting di stadium kami dengan bunyi monyet dan ejekan perkauman jelas kedengaran dari tempat duduk penyokong.

"Kita perlu berwaspada. Bola sepak memerlukan rasa hormat.

"Bola sepak sepatutnya bukan untuk perpecahan tetapi untuk penyatuan."

Lazio mengelak daripada terlibat dengan sebarang insiden dalam perlawanan itu, namun mengkritik pengamal media yang terlalu mudah membuat laporan bahawa keseluruhan penyokong Lazio perlu bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan sebahagian penyokong itu.

Terdahulu, Kessie dan Bakayoko memohon maaf selepas memalukan Lazio dengan berarak sambil memegang jersi Francesco Acerbi ketika meraikan kemenangan 1-0 dalam aksi LaLiga, 13 April lalu.