Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, memuji persembahan pemain tempatan dalam skuad kendaliannya itu ketika mengikat Selangor 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

Dalam perlawanan itu, Abu Bakar memberi peluang kepada beberapa muka baru seperti Farid Nezal, Ibni Khozaimi serta Fazrul Hazli Mohd Kadri untuk memulakan perlawanan.

"Saya nampak kesungguhan pemain tempatan berjuang sepanjang perlawanan," katanya.

"Walaupun kami turun serba pincang tanpa dua import, iaitu Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez serta kapten, Hafiz Ramdan, kesebelasan yang diturunkan berjaya mengimbangi persembahan.

"Memang pada mulanya kami nampak sukar tetapi lama-kelamaan pemain berjaya mengimbangi permainan. Kami hanya bemain dengan dua import, Yashir Pinto dan Pedro Victor.

"Kawalan ketat ke atas Ifedayo Olusegun berjaya menghalang pemain itu melakukan sebarang kemusnahan kecuali satu gol yang dihasilkan."

Abu Bakar turut lega dengan satu mata yang dikutip mereka dalam perlawanan itu dan berharap anak didiknya akan mendapat kematangan bagi menghadapi baki lapan perlawanan lagi.