Virgil van Dijk menepis tanggapan bahawa dia masih dibayangi kecederaan lampau hingga menjadi punca prestasinya merudum bersama Liverpool musim ini.

Bintang Belanda itu menghabiskan 10 bulan di tepi padang selepas tercedera lutut akibat terjahan penjaga gol Everton dan England, Jordan Pickford, musim lalu.

Kecederaan itu memusnahkan impiannya untuk beraksi dalam Euro 2020 -- kejohanan antarabangsa utama pertama Belanda selepas hilang tempat dalam Piala Dunia 2018 dan Euro 2016.

The Reds tewas dua kali dan seri tiga perlawanan, secara tidak langsung menimbulkan persoalan apakah prospek Piala Dunia Qatar sedang bermain dalam minda pertahanan tengah itu.

“Tidak sama sekali. Saya boleh memberi jaminan bahawa perkara itu tidak berlaku,” katanya yang akan mengetuai Belanda dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Poland dan Belgium, minggu depan.

“Kami tidak berada dalam situasi itu disebabkan hal tersebut. Saya faham berikutan kempen permulaan musim yang kami tempuhi, semua orang tercari-cari (jawapan) ‘mengapa?’ kerana jurang perbezaannya (dengan musim lalu) terlalu besar tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa ia bukan salah satu sebabnya.

"Kami memberi tumpuan kepada perlawanan ketika itu dan itulah yang kami lakukan."





Tambahnya lagi: “Saya hanya boleh bercakap untuk diri sendiri dan saya tidak akan bimbang tentang diri saya.

“Saya mahu diturunkan dan bersedia. Saya tidak memberi tumpuan kepada harapan agar tidak mengalami kecederaan, fikiran saya hanya untuk terus beraksi, kekal cergas dan berada dalam keadaan yang baik.

“Jika anda berfikir tentang perkara ini (mendapat kecederaan), saya fikir anda akan menghadapi masalah.

“Kami beri tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan dan termasuklah aksi antarabangsa. Bagi saya ia membabitkan perlawanan menentang Poland dan Belgium kemudian Brighton, jadi itu akan menjadi tumpuan.

"Saya tidak memberi tumpuan kepada apa yang berlaku pada bulan November.”