Dua legenda bola sepak negara, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan, antara individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Zainal Abidin, 60, merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 penampilan bersama Harimau Malaya.

Dollah, 59, pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan dari 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan itu di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.