Pemain tenis Jerman, Alexander Zverev, mengesahkan kejuaraan Piala Rogers 2017 selepas menewaskan juara Wimbledon 2017, Roger Federer, menerusi straight set 6-3, 6-4 dalam aksi final di Montreal.

Biarpun baru berusia 20 tahun, Zverev mempamerkan aksi hebat untuk menewaskan Federer, sekaligus meraih kejuaraan keduanya bagi Masters 1000 pada tahun ini.

Bagi Federer pula, tewas di tangan pemain kelapan dunia itu menyaksikannya dia mencatat kekalahan ketiga pada tahun 2017.

Kedua-dua pemain menunjukkan aksi yang kemas, namun Zverev lebih bertenaga dalam set kedua ketika Federer dilihat tidak selesa dengan servis deras yang dilakukan oleh adik kepada Mischa Zverev itu.

Mata demi mata berjaya diraih oleh Zverev untuk mengesahkan kejuaraan di Montreal dan bagi pemain berusia 20 tahun itu, pertemuan dengan Federer adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan.

“Aksi menentang Federer adalah sesuatu yang istimewa buat saya kerana dia merupakan idola yang saya kagumi sejak kecil.

“Dia merupakan pemain terhebat sepanjang zaman dan apabila berjaya menewaskannya dalam final Masters 1000, is sesuatu yang menggembirakan,” kata Zverev.