Selepas aksi cemerlang sepanjang sesi latihan dan kelayakan, masalah tayar menjadi penghalang Mohd Zaqhwan Zaidi untuk meraih podium dalam Perlumbaan 1 SuperSports 600cc, Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, semalam.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu muncul pelumba terpantas dalam kesemua sesi latihan dan pusingan kelayakan dan memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama, namun terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan keempat dengan masa keseluruhan 24’17.082s.

Pelumba wildcard, Dimas Ekky Pratama (Astra Honda Racing Team) muncul juara setelah menamatkan 16 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 24’16.982s.

“Saya bermula dengan baik, namun mengalami kesukaran untuk mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan.

"Selepas dipintas beberapa pelumba, saya dapati sukar untuk mengejar mereka dan keadaan tayar juga semakin teruk,” jelas Zaqhwan.

“Mungkin pelarasan yang saya gunakan tidak begitu baik, menyebabkan tayar saya mengalami masalah meskipun memilih jenis tayar yang sama dengan pelumba lain.

"Keadaan cuaca lebih sejuk berbanding ketika sesi kelayakan. Saya akan melakukan sedikit perubahan terhadap jentera dan akan bekerja lebih keras untuk menaiki podium dalam perlumbaan kedua esok.”

Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) muncul naib juara dengan masa keseluruhan 24’17.015s diikuti Taiga Hada (Rama Honda) ketiga, 24’17.082s.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh, kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 111 mata diikuti Hada, 94 mata dan Zaqhwan, 93 mata.

Sementara itu, trio Astra Honda Racing menguasai ketiga-tiga podium dalam saingan Asia Production 250cc, diketuai Gerry Salim yang meraih kemenangan keenam musim ini dengan masa 20’51.073s. Rheza Danica Ahrens muncul naib juara dengan masa 20’53.715s, diikuti Andi Farid Izdihar ketiga, 20’53.997s.

Pelumba muda negara, Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor), menghadiahkan kemenangan buat kontinjen negara setelah menjuarai perlumbaan Underbone 150cc dengan masa 18’46.517s untuk terus kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 118 mata.