Perlawanan empat penjuru bagi untuk merebut tempat sebagai individu keenam perlawanan Elimination Chamber berubah corak apabila Kurt Angle memasukkan Seth Rollins, menjadikan perlawanan ini bertukar kepada lima penjuru.

Matt Hardy, Bray Wyatt, Apollo Crews dan Finn Balor yang telah tewas di pusingan kelayakan pertama, sekali lagi diberi peluang untuk berentap sesama sendiri di perlawanan kemuncak Raw semalam. Kemasukan Rollins sebagai peserta tambahan nyata menambah elemen dramatik seterusnya menjadikan perlawanan ini amat mengujakan.

Kelima-lima jaguh berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Namun Balor dan Rollins menepati ramalan sebagai peserta pilihan apabila secara serentak menindan Bray Wyatt hasil gerakan Tower of Doom dari sudut gelanggang.

Pengadil yang membuat kiraan pin kemudian menjadi keliru kerana kedua bintang ini telah beroleh kemenangan serentak menyebabkan pemimpin Balor Club dan The Kingslayer bertikam lidah mendakwa kemenangan adalah milik mereka.

Bagi meleraikan kekusutan hasil keputusan kontroversi tersebut, Pengurus Besar Raw Kurt Angle pasca acara mengumumkan yang kedua-dua Rollins dan Balor adalah layak untuk menyertai John Cena, Elias, The Miz, Roman Reigns dan Braun Strowman di dalam sangkar Elimination Chamber pada 26 Februari depan.

Sekaligus mencipta sejarah dengan menampilkan tujuh peserta berbanding hanya enam orang dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Keputusan perlawanan lain acara Raw semalam:
1. John Cena tewaskan Juara Intercontinental The Miz (yang kalah akan menjadi peserta pertama bertarung di Elimination Chamber)
2. The Revival benam Luke Gallows & Karl Anderson
3. Bayley kalahkan Sasha Banks
4. Mandy Rose & Sonya Deville kalahkan Juara Wanita Raw Alexa Bliss & Mickie James
5. Roman Reigns tumpaskan Sheamus

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEElimination Chamber dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.