Buat pertama kalinya, bekas Juara Bantamweight UFC yang kini merupakan bintang sepenuh masa WWE, Ronda Rousey beraksi di acara Monday Night Raw semalam.

Sejak menyertai syarikat sukan hiburan ini pada Januari lalu, ini merupakan kali kedua WWE Universe menyaksikan Ronda mempamerkan keupayaannya dalam gelanggang gusti, setelah kali terakhir beraksi bersama Kurt Angle menentang pasangan suami isteri Triple H dan Stephanie McMahon di acara Wrestlemania pada April.

Natijah daripada insiden pukulan curi dari belakang di acara Raw minggu lalu, Pengurus Besar Raw Kurt Angle memberi lampu hijau kepada Ronda untuk melunaskan kesumatnya terhadap Alicia Fox, yang kini dilihat menjadi sekutu kepada Juara Wanita Raw, Alexa Bliss.

Biarpun dianggap masih hijau dalam industri gusti, namun Ronda dilihat mudah memperoleh keserasian dan mampu mempamerkan aksi bertenaga walaupun mendapat gangguan daripada Alexa yang berada di sisi gelanggang.

Kesudahannya, Fox terpaksa menyerah kalah apabila terperangkap dalam posisi kunci lengan oleh Ronda, sebuah kunci submission maut yang telah mengangkat namanya di arena seni bela diri campuran sebelum ini.

Isyarat jelas diberikan bintang wanita yang kini dilabel sebagai The Baddest Woman on The Planet ini kepada Alexa yang akan mengikat temu janji bersamanya di acara WWE Summerslam kurang dua minggu dari sekarang, dengan kejuaraan milik Miss Bliss menjadi taruhan.



Sengketa antara Ronda dan Bliss bermula di acara WWE Money In The Bank dua bulan lalu bila mana Alexa yang telah memenangi kontrak Money In The Bank wanita, menunaikan kontrak tersebut di malam yang sama dengan mengganggu perlawanan antara Ronda dan Nia Jax, sekaligus bergelar juara baharu membuatkan Ronda berputih mata.

Ibarat menjolok sarang tebuan, provokasi demi provokasi dilancarkan oleh sang juara membuatkan Ronda tidak mampu menahan sabar lagi. Akibatnya, Ronda diberi peluang untuk mengajar Alexa erti adab dalam perlawanan mereka yang bakal mengambil tempat di acara tahunan kedua terbesar WWE tersebut.

Berbekalkan gelaran sebagai juara 5 kali mungkin belum cukup buat Alexa sebagai bekalan menghadapi tentangan daripada Ronda kelak. Dengan kelebihan fizikal dan ketangkasan yang dimiliki Ronda, tidak mustahil peminat kepada mendiang Rowdy Roddy Piper ini akan menambah koleksi kejuaraannya dengan bergelar Juara Wanita Raw pula selepas ini.

Untuk mengelakkan kejuaraan yang disandangnya ini terlepas ke tangan Ronda, Alexa perlu merangka strategi ampuh dan penuh tipu daya ketika perlawanan ini kelak. Kerana secara atas kertas, nampaknya peluang untuk Ronda bergelar juara amat cerah jika tiada insiden luar jangka berlaku seperti gangguan luar dan sebagainya.

Apapun, lonjakan karier Ronda pastinya akan menaikkan lagi namanya sebagai antara bintang yang mencipta sejarah kegemilangan dalam transisi daripada bintang UFC kepada WWE, seterusnya mencipta lebih banyak momen bersejarah dalam fasa menuju ke acara WWE Evolution, acara pay per view wanita pertama dalam sejarah pada 29 Oktober depan.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Summerslam pada 20 Ogos ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.