Johanna Konta mencetuskan sensasi dalam Grand Slam Wimbledon apabila muncul pemain perseorangan wanita British pertama mara ke separuh akhir dalam tempoh 39 tahun.

Kekalahan 6-7 (2-7), 7-6 (7-5), 6-4 Simona Halep kepada Konta dalam aksi suku akhir malam tadi, secara tidak langsung mengesahkan status Karolina Pliskova sebagai pemain wanita nombor satu dunia.

Berikutan Serena Williams sedang bercuti daripada Jelajah WTA kerana sedang menanti cahaya mata, kedudukan di puncak itu menjadi rebutan pemain-pemain lain yang saling bersaing sengit, dengan Jelena Ostapenko menjuarai Grand Slam Terbuka Perancis di Roland Garros, bulan lalu.

Bagaimanapun, pemain Latvia itu disingkirkan oleh Venus Williams, 6-3, 7-5.

Dan kemenangan Venus, 37, dalam aksinya yang ke-100 itu di Wimbledon melayakkannya untuk berdepan pemain tuan rumah, Konta, selepas ini.

Ironinya, kekalahan Halep kepada Konta menyaksikan Pliskova merampaskan kedudukan nombor satu daripada pemain Jerman, Angelique Kerber, biarpun Pliskova tersingkir dalam pusingan kedua kempen di All England Club itu manakala Kerber pula tewas kepada Garbine Muguruza dalam pusingan keempat.

Meskipun kempen Pliskova -- pemain kelahiran Republik Czech -- berakhir awal, namun dia mempamerkan prestasi baik dalam tempoh 12 bulan ini.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir wanita, Magdalena Rybarikova akan menentang finalis 2015 dari Sepanyol, Garbine Muguruza.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Novak Djokovic menimbulkan isu mengenai tahap kualiti permukaan rumput dengan menganggap ia tidak begitu memuaskan dengan menunjukkan satu lubang yang wujud di Centre Court.

Pemain Serbia itu sempat memberitahu pengadil mengenai lubang berkenaan yang boleh menjejaskan kaki pemain dalam kemenangan straight set 6-2, 7-6 (7-5), 6-4 dalam pusingan keempat ke atas Adrian Mannarino.

"Saya memberitahu kepada pengadil bahawa terdapat satu lubang di tengah gelanggang berhampiran garisan servis," katanya kepada BBC.

"Pengadil meminta saya untuk menunjukkannya dan dia kelihatan tidak begitu gembira.

"Keadaan gelanggang tidak begitu bagus pada tahun ini. Ramai pemain turut sependapat. Faktor cuaca juga memberi kesan kepada rumput.

"Penjaga padang adalah yang terbaik di dunia.

"Begitupun, rumput adalah permukaan paling rumit untuk dikekalkan. Ia bukan mudah, mereka telah cuba memberikan yang terbaik. Apapun, saya pernah beraksi di atas gelanggang yang lebih baik."