Persembahan Welson Sim di Pusat Akuatik Tokyo terus terumbang-ambing selepas hanya mampu menduduki tempat ketujuh dalam saringan kedua, acara 200 meter gaya bebas lelaki, Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

Cuba untuk mengatasi kekecewaan semalam , perenang dari Sarawak itu turun dengan harapan untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

Sebaliknya yang berlaku apabila David Popovici dari Romania serta Vladimir Stepanovic dari Serbia mendahuluinya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Dalam saringan dua itu, dia mencatat 1:49.24s yang merupakan masa terbaiknya musim ini tetapi gagal membantunya untuk mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan di ranking ke-32 dalam kalangan 39 perenang.

Justeru, perjalanan Welson dalam edisi kali ini berakhir dan untuk rekod, dia juga gagal mara lebih jauh dalam acara 400m gaya bebas yang berlangsung semalam.

"(Prestasi saya hari ini) lebih baik banyak dari semalam.

"Saya rasa perancangan dalam acara hari ini lebih baik daripada segi 100m pertama dan terakhir.

"Pertukaran jurulatih dan program baru, kemalangan, fisioterapi dalam masa singkat memang sukar untuk dihadapi.

"Kami perlu berbincang untuk tahun depan yang akan menganjurkan banyak kejohanan besar," katanya sesudah aksinya.