Simone Biles menarik diri daripada dua lagi acara final dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, demikian disahkan USA Gymnastics hari ini.

Bintang Amerika Syarikat (AS) itu hanya terlibat dengan satu pusingan dalam final acara berpasukan wanita Selasa lalu, di mana dia merekodkan mata terendah sebelum langsung tidak mengambil bahagian dalam baki saingan.

Ia kemudian disahkan bahawa dia juga tidak akan mempertahankan gelaran all-around yang dimenanginya dalam Sukan Olimpik Rio 2016 kerana mahu fokus kepada kesihatan mentalnya.

Hari ini, USA Gymnastics mengesahkan bahawa Biles -- pemenang empat pingat emas di Rio -- tidak akan mengambil bahagian dalam final acara melombol dan palang tidak sejajar dan penyertaannya dalam final acara senaman lantai dan batang titian akan ditentukan kemudian.

Badan induk itu berkata: "Selepas perbincangan lanjut dengan staf perubatan, adalah diputuskan bahawa Simone Biles telah memilih untuk menarik diri daripada final acara melombol dan palang tidak sejajar. Dia akan terus dipantau setiap hari untuk melihat sama ada dia dapat bersaing dalam acara senaman lantai dan batang titian atau tidak.

"Kami tetap kagum dengan Simone, yang terus menghadapi situasi ini dengan keberanian dan terpuji, dan semua atlet yang telah tampil dalam keadaan yang tidak dijangka ini."