Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, berazam menterjemahkan segala ilmu yang dimilikinya dalam final 3 meter papan anjal, esok, bagi menebus segala pengorbanan yang terpaksa ditanggung untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Misi itu bukan omong kosong apabila jurulatihnya, Christian Brooker, mendedahkan penerjun berusia 22 tahun itu masih mempunyai gaya terjunan yang lebih istimewa.

Nur Dhabitah bangkit selepas episod duka kem negara semalam yang menyaksikan rakan sepasukannya, Ng Yan Yee, terkandas dalam pusingan pertama.

Selepas lima terjunan, dia cemerlang ke final dengan meraih keseluruhan 312.60 mata untuk meletakkan dirinya di kedudukan keenam daripada 12 penerjun yang mara ke final.

Situasi itu memberi isyarat bahawa Nur Dhabitah berpeluang untuk merakamkan kejayaan tatkala saingan tertumpu kepada aksi memukau duo dari China, Wang Han dan Shi Tingmao.

"Saya hanya mahu kalahkan diri sendiri sahaja, saya tidak mahu fikirkan siapa-siapa.

"Esok saya hendak buat macam hari ini, beraksi santai tapi bukanlah sambil lewa.

"Musuh saya adalah diri sendiri, bukan peserta Amerika Syarikat mahupun China.

"Saya mahu kalahkan diri sendiri, menjadi lebih baik," katanya.




Ini merupakan final keduanya di pentas Sukan Olimpik selepas temasya Rio 2016 dalam acara 10 meter platform.

Dia mempunyai tempoh 24 jam sebelum merintis kemungkinan di Pusat Akuatik Tokyo, dan Brooker bakal mencongak taktikal yang bakal menghadirkan kejayaan buat anak buahnya itu.

"Dalam 12 peserta yang layak ke final, andai mereka melakukan terjunan baik, pasti saingan akan menjadi sengit.

"Tapi apa jua boleh berlaku. Hari ini menyaksikan beberapa penerjun pilihan gagal meneruskan kemaraan.

"Kalau Dhabitah membuat yang terbaik sementara yang lain tidak, ia pasti bagus untuk Dhabitah," katanya.