Pelayar negara, Khairulnizam Afendy, menduduki tangga ke-27 keseluruhan daripada 35 peserta selepas tiga perlumbaan laser standard setakat ini.

Wakil negara itu menamatkan pusingan pertama di tempat ke-26 semalam dan sedar perlu memaparkan aksi yang lebih baik dalam perlumbaan kedua, yang ditunda ke hari ini berikutan masalah ketiadaan angin.

Hasilnya, dia menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terbaik dalam perlumbaan kedua hari ini tetapi tidak dapat meneruskan momentum sama dalam perlumbaan ketiga, di mana dia sekadar menamatkannya di tempat ke-28.

Secara keseluruhan Khairulnizam kini berada di tangga ke-27 berbaki tujuh pusingan -- perlumbaan keempat hari ini turut ditunda ke saingan esok.

Hanya 10 peserta terbaik selepas 10 perlumbaan akan layak ke pusingan akhir bagi perebutan pingat.