Gimnas artistik negara, Jeremiah Loo, kini berdebar menantikan sama ada dia akan layak ke final acara all-around atau tidak selepas merekodkan 67.498 mata dalam pusingan kelayakan subdivision pertama Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu, yang merupakan gimnas lelaki Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik sejak Ng Shu Wai melakukannya pada 2004, memperoleh mata yang agak baik dalam kebanyakan apparatus tetapi malang apabila didenda empat mata dalam rutin gelung roman.

Dia menamatkan sesi pagi di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo itu di tangga ke-19, di mana hanya 24 peserta terbaik daripada tiga pusingan subdivision akan melangkah ke final acara lelaki.

Wakil Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), Nikita Nagornyy (87.897), dan dua gimnas China, Xiao Ruoteng (87.732) dan Sun Wei (87.298), muncul tiga peserta terbaik dalam sesi berkenaan.

*Kredit foto: asiana.my