Pemain golf negara, Gavin Green, masih belum menemui rentak terbaiknya apabila sekadar mencatatkan 74 pukulan 3 di atas par untuk berada di kedudukan ke-58 keseluruhan dalam saingan hari pertama di Kelab Golf Kasumigaseki hari ini.

Membuat penampilan kedua di pentas Sukan Olimpik selepas edisi di Rio pada 2016, Gavin berdepan cabaran tersendiri di lapangan golf itu, yang terletak 65 kilometer dari Tokyo.

Ini kerana pemenang pingat perak Sukan SEA Myanmar 2013 itu telah berkelana ke Eropah sepanjang dua bulan lalu dan sekadar melakukan persiapan empat hari di bumi Jepun.

Gavin, yang melakukan pukulan bersama peserta dari China dan Jerman, sekadar membenam 2 birdie di lubang kelapan dan ke-11 dan mencatat lima bogey secara keseluruhan.

Sememangnya ia permulaan kurang sempurna buat Gavin susulan gagal melakukan catatan di bawah par pada hari pertama.

Tatkala tumpuan terarah kepada beberapa pemain handalan dunia seperti Rory McIilroy dan Collin Morikawa, Gavin pula masih berpeluang untuk mencapai sasaran peribadinya, iaitu memperbaiki kedudukan ke-47 yang dilakukannya lima tahun lalu.