Jurulatih terjun negara, Christian Brooker, masih percaya terhadap kemampuan Pandelela Rinong untuk bangkit dalam acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Rabu depan.

Pandelela dan gandingannya, Leon Mun Yee, memaparkan terjunan kurang kemas dalam final acara 10 meter platform seirama wanita sehingga terperosok di tangga tercorot kelmarin.

Ketika ramai mempertikaikan kewibawaan bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, Brooker kekal percaya dengan kemampuan anak buahnya itu sambil menegaskan skuad terjun negara masih di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran satu pingat dalam temasya kali ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Brooker berkata: "Pandelela seorang yang profesional, dia pasti akan bangkit semula.

"Dia kelihatan sudah melupakannya dan ia sebenarnya akan mendorongnya untuk mencuba dengan lebih gigih.

"Tidak banyak yang saya boleh katakan, dia seorang legenda dalam sukan ini.

"Dia tahu apa yang perlu dilakukannya dan dia sedang mencuba sedaya-upaya.

"Kita hanya perlu berdoa agar dia dapat melakukan yang terbaik.

"Sasaran utama kami adalah dalam acara 10 meter seirama wanita tetapi kami tidak mendapatkannya.

"Bagaimanapun, dalam sukan terjun, sama seperti sukan-sukan lain, apa sahaja boleh berlaku," katanya.