Kem berbasikal trek negara akur terkandas di peringkat ketiga acara pecut Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini.

Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom terpaksa melalui repechage selepas gagal melepasi halangan dua pelumba terkemuka Belanda, Jeffrey Hoogland dan Harrie Lavreysen, untuk kelayakan ke suku akhir, sekali gus akan mengalihkan tumpuan sepenuhnya dalam perlumbaan keirin, Ahad ini.

"Kami buat yang terbaik hari ini, taktikal memang 'A'. Cuma kami tidak cukup kuasa kuda untuk menyaingi mereka.

"Acara pecut ini memerlukan kekuatan tenaga dan kuasa yang tinggi yang menyaksikan kami tidak dapat menyamai mereka.

"Apabila tidak dapat mengalahkan Hoogland memang kami merancang untuk tidak mara kerana bagi simpan tenaga dalam keirin," kata pelumba berusia 33 tahun itu.






Dalam masa sama, Shah Firdaus semakin selesa dengan kayuhannya dengan berkata: "Saya gembira dengan persembahan hari ini walaupun semalam mempamerkan prestasi turun naik.

"Saya mengakui bergelut untuk pulihkan tenaga hari ini.

"Harrie Lavreysen dalam keadaan segar sebab semalam dia habis agak cepat sebab hanya lawan dua kali.

"Perlumbaan tadi agak laju. Acara pecut ini melibatkan tenaga jadi agak rumit," katanya pula.

Jurulatih negara, John Beasley, mengakui tidak merelakan anak buannya terus mengerahkan kudrat sebaik perancangan awal gagal dilunaskan.

Justeru, mereka mahu memusatkan perhatian dalam keirin.

"Kami terpaksa berdepan pelumba Belanda sementara (fizikal) kami pula rendah.

"Kami perlu bangkit dalam repechage tapi tidak menang lalu mengakibatkan kami perlu melalui dua perlumbaan lagi.

"Jadi kami mengambil langkah untuk 'menutup kedai'," katanya.


*Kredit foto: asiana.my