Roger Federer perlu mengerah keringat sebelum kecederaan lutut memaksa Adrian Mannarino menarik diri daripada Terbuka Wimbledon, sebentar tadi.

Federer dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menawan perlawanan pertamanya di All England Club itu sejak tewas kepada Novak Djokovic dalam final 2019.

Jangkaan itu terserlah sebaik dia mengungguli set pertama, tetapi Mannarino menghidupkan peluangnya dengan memenangi dua set berikutnya dalam pertemuan ketujuh mereka itu.


Juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu kembali mengatur corak permainannya untuk mendahului set keempat sebelum Mannarino mula dihimpit kecederaan ketika ketinggalan 2-4.

Pencabar dari Perancis itu berusaha untuk meneruskan permainannya sebelum terpaksa akur pada awal set kelima, sekali gus menyerah dengan keputusan 6-4, 6-7 (3-7), 3-6 6-2.

Federer hanya kehilangan lima mata dalam set pertama biarpun dia hanya memungut satu daripada enam break point sebelum Mannarino mula menampilkan persembahan jitu dalam set kedua.

Pemain Perancis itu melepaskan sebarang break point malah lebih menyerlah untuk mengikat kedudukan.

Dia meneruskan keyakinan itu dalam set ketiga apabila hanya melakukan enam kesalahan berbanding Federer, 10 kali.

Tatkala hampir mengundang kejutan terbesar kejohanan itu, Federer kembali ke prestasi terbaiknya dalam set keempat menerusi permainan kemas di depan jaring.

Dengan musibah yang menimpa Mannarino itu, ia memberi ruang kepada jaguh kelahiran Switzerland tersebut untuk menjimatkan tenaganya sebelum pertembungan pusingan kedua dengan Richard Gasquet.