Roger Federer kelihatan "penuh berkeyakinan" selepas memenangi penentuan empat set ketika menentang Marin Cilic dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis awal pagi tadi.

Pemain berusia 39 tahun itu menewaskan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2014 berkenaan 6-2, 2-6, 7-6, 6-2 di gelanggang Philippe-Chatrier selepas turut mempamerkan aksi luar biasa ketika membenam Denis Istomin dalam pusingan pertama.

Federer menguasai set pertama tetapi kehilangan rentak dalam set berikutnya pada ketika Cilic memperkemaskan permainannya selain dia juga kelihatan bertengkar dengan pengadil selepas diberikan amaran kerana melengah-lengahkan masa ketika menerika servis.

Perlawanan ittu semakin getir menuju ke penentuan tie break set ketiga tetapi Federer amat klinikal dalam menangani situasi itu dengan menamatkan set itu melalui satu servis ace sebelum kembali menguasai set keempat.

"Ia satu perlawanan yang amat baik buat saya," kata Federer, yang akan berdepan Dominik Koepfer dalam pusingan ketiga.

"Ada sedikit naik turun dalam set kedua dan ketiga.

"Perkara baiknya, saya berasakan saya turun dalam perlawanan seperti ini dan saya menyedari mengapa ia ada turun naiknya dan kemudian saya dapat mengekalkan tahap yang kukuh apabila dia mula melakukan break dalam set ketiga dan ia kelihatan amat berbahaya buat saya.

"Saya dapat meningkatkan permainan saya, bermain di tahap sama dengannya dan kemudian saya meninggalkannya. Saya fikir ia akan memberikan saya lebih keyakinan," katanya.