Elina Svitolina meraih gelaran Jelajah WTA pertama tahun ini selepas mengatasi aksi getir dengan Marie Bouzkova dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Monterrey hari ini.

Pemain pilihan utama dari Ukraine itu memerlukan tiga jam untuk mengatasi pilihan kesembilan dari Republik Czech berkenaan 7-5, 4-6, 6-4.

Ia merupakan kejuaraan jelajah ke-14 buat Svitolina, namun yang pertama sejak penghujung 2018, di mana dia memenangi Kejohanan Jelajah Final WTA.

Bouzkova, yang membuat penampilan pertamanya dalam final jelajah WTA, bersaing hebat sebelum tumpas kepada pemain di ranking ketujuh dunia itu.
Svitolina bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi set pertama sebelum Bouzkova memenangi set berikutnya untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Terdapat lima mata break dalam set penentuan dengan Bouzkova bangkit daripada ketinggalan 1-4 dan 5-2 sebelum tewas dalam game ke-10.