Roger Federer berkata tiada apa yang perlu diperbaiki dalam permainannya ketika dia memasang hajat menundukkan Marin Cilic untuk memenangi gelaran Grand Slam ke-20 dalam perlawanan akhir Terbuka Australia, esok.

Pemain Switzerland itu tidak pernah keciciran satu set pun sepanjang kejohanan ini dan memperoleh manfaat dalam aksi separuh akhir berdepan Chung Hyeon yang menarik diri selepas Federer memimpin perlawanan 6-1, 5-2, semalam.

Juara bertahan itu bakal berhitung dengan Cilic, yang dikalahkannya untuk memenangi gelaran utama ke-19 di Wimbledon tahun lalu -- pemain Croatia itu menangis selepas bergelut dengan kesakitan kaki yang melecet.

Justeru, pemain berusia 36 tahun itu tidak berfikir untuk mengubah corak permainannya ketika di peringkat ini.

"Tidak ada apa-apa untuk diperbaiki, saya hanya perlu menampilkan permainan yang baik. Pada masa ini, saya tidak perlu memperbaiki apa-apa," katanya kepada pemberita.

"Saya telah melakukan segala-galanya dengan baik, saya harap saya akan membuat permulaan yang bagus.

"Saya harap saya dapat mempelbagaikan permainan saya, saya harap saya boleh bermula dengan baik, tidak mengalami masalah awal dan berharap dapat membaca servisnya.

"Saya gembira kerana permainan saya bagus sejak permulaan kejohanan ini, saya telah memenangi semua perlawanan tanpa kehilangan satu set.

"Jelas sekali saya agak bertuah terhadap Tomas Berdych dalam set pertama (perlawanan suku akhir) tetapi perkara baik di peringkat ini adalah saya tidak kehilangan sebarang set pun dan mara ke final," tambahnya.

Cilic memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2014 dan Federer percaya pencapaian itu mengubah mentalitinya.

"Selepas memenangi Terbuka AS, seperti Stan Wawrinka yang menang di sini beberapa tahun lalu, ia menyuntik keyakinan mereka dalam kejohanan besar akan datang.

"Ia bukan mudah, namun mereka boleh mencapainya dari semasa ke semasa. Saya fikir dia bermain hebat ketika menentang Rafa Nadal. Saya fikir keyakinan dan cara permainannya yang sangat positif membantunya memenangi perlawanan kerana sebelum itu, aksinya tidak kelihatan baik ketika kehilangan set.

"Malah, pada penghujung tahun lalu ketika saya bertemunya dalam Final Jelajah Dunia, dia patut menang sekurang-kurangnya sekali daripada tiga perlawanan.

"Cara dia bangkit ketika menentang saya adalah karakter pemenang, 'sekurang-kurangnya saya akan mencuri satu set menentang Roger.' Saya akhirnya berdepan dengannya dalam pertemuan tiga set yang berlangsung sengit

"Saya tidak berasakan saya bakal menghadapi seorang pemain yang baru sahaja tewas dalam dua perlawanan liga sepusingan," katanya lagi.