Kepuasan jelas dirasai atlet memanah recurve Universiti Ptra Malaysia (UPM), Mohd Alif Adha Hassan, yang menjadi tulang belakang kepada pasukan untuk muncul juara keseluruhan acara itu dalam saingan Sukan Insititusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018.

Alif meraih tiga pingat emas secara keseluruhan menerusi acara kelayakan recurve individu, final individu, berpasukan dan satu perak bagi acara berpasukan campuran, sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik buat pemanah berusia 26 tahun itu.

Lebih bermakna, penampilan dalam SUKIPT 2018 adalah yang terakhir buatnya dan dalam masa sama, Alif tidak menolak kini terdapat banyak persaingan yang hampir memusnahkan misi mereka untuk mengungguli sukan memanah dalam edisi kali ini.

"Berbanding pada tahun 2016, kami konsisten menjadi juara keseluruhan tetapi edisi kali ini saingan lebih sengit kerana banyak wajah-wajah baru yang memberikan tentangan hebat," katanya.

Alif yang pernah menjalani program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dari 2010 hingga 2014 dan kini merupakan penuntut jurusan Pembangunan Sumber Manusia, bagaimanapun tidak pernah terfikir untuk kembali diserap menjadi atlet kebangsaan.

Ia disebabkan dia ingin fokus kepada tugas jurulatih bagi skuad Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

"Saya sudah mula fokus kepada karier sebagai jurulatih untuk skuad pelapis yang baru," ujarnya.