Ketua jurulatih olahraga negara, R. Jeganathan, menggambarkan situasi yang dilalui skuad olahraga negara ketika ini bagi fasa akhir persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo sebagai cukup mendebarkan.

Berbaki lima minggu lagi temasya membuka tirai, Jeganathan yang bakal membimbing skuad olahraga para buat kali keempat dalam temasya itu melaungkan keyakinan bahawa olahraga akan kekal menjadi sebagai lubuk pingat buat kontinjen negara.

Antara sandaran Jeganathan untuk menyinar di Jepun kelak adalah Ziyad Zolkefli, Latif Romly dan Jonathan Wong.

"Sasaran kami tidak berubah, dua pingat emas dan satu gangsa.

"Sebagai ketua jurulatih, saya perlu memiliki keyakinan terhadap atlet saya.





"Kalau mereka rasa mampu melakukannya, saya perlu berikan motivasi dan selebihnya bergantung kepada hari pertandingan.

"Semangat mereka sudah pun membara, cuma tunggu untuk beraksi sahaja.

"Kami berjaya menepati sasaran di Rio, jadi di Tokyo kelak kami akan kekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar pingat untuk negara.

"31 Ogos, lagu Negaraku akan berkumandang. Ia hadiah untuk negara, kami akan menyambut (kejayaan) emas pada Hari Merdeka di Jepun," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.