88 hari menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020, ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, tetap tenang di sebalik penundaan Kejohanan Olahraga Dunia IPC di China, bulan depan, yang turut menawarkan slot kelayakan ke Jepun.

Sebaliknya, Jeganathan menamakan prospek pingat negara dalam temasya itu kelak selepas membuat penilaian.

Untuk rekod Skuad Paralimpik negara membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa, lima tahun lalu sekali gus menjadi kempen paling berjaya dalam sejarah paralimpik negara.

Empat prospek yang harus diberi perhatian ialah, Latif Romly, Ziyad Zolkefli, Jonathan Wong dan Ridzuan Puzi.

"Kami mengharapkan mereka membawa pulang medal tanpa mengira apa warna sekalipun.

"Dengan kajian dibuat, kami sudah merancang apa yang perlu dilakukan, ISN (Institut Sukan Negara) banyak membantu.

"Ini kerjasama berpasukan (membabitkan ramai pihak), bukan (usaha) kami semata-mata.

"Kami mempunyai (resepi) rahsia jadi kami sudah bersedia," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.