Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, mengumumkan sasaran 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa buat kontinjen negara dalam Sukan Para ASEAN Kemboja bermula Sabtu ini.

Menurutnya, sasaran yang ditetapkan itu adalah realistik dan mampu dicapai selepas meneliti setiap aspek, termasuk kekuatan kontinjen negara dalam temasya edisi ke-12 itu.

Malaysia akan menampilkan 144 orang atlet dengan 116 daripadanya merupakan atlet lelaki dan 28 atlet wanita.

Kontinjen negara turut mempertaruhkan 43 peratus muka baru yang akan membuat penampilan pertama di Kemboja.

"Malaysia bakal kehilangan tiga pingat emas apabila pemenang emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Muhammad Latif Romly, Ziyad Zolkefli dan Cheah Liek Hou, tidak menyertai temasya kali ini," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.

"Kami, bagaimanapun, percaya bahawa akan ada atlet yang mampu mencipta kejutan dan tidak mustahil dapat menambahkan jumlah kutipan pingat keseluruhan kontinjen negara di Kemboja kali ini.

"Insya-Allah, kami di persatuan sukan kebangsaan dan MSN (Majlis Sukan Negara) percaya ini adalah yang terbaik (buat kontinjen negara)," katanya.