Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, meminta atlet negara agar meneruskan program latihan dan persiapan memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo hujung Julai depan biarpun negara tuan rumah, Jepun, mengumumkan perintah berkurung buat kali ketiga.

Tokyo dan Osaka antara bandar yang kembali dikenakan perintah berkurung berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini mencecah 550,000 kes, termasuk hampir 10,000 kematian.

Bagaimanapun, acara sukan di negara itu masih diteruskan tanpa kehadiran penonton dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, dilaporkan akan melakukan lawatan ke Jepun selepas tamat perintah berkurung pada 11 Mei depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Reezal Merican berkata: "Setakat yang dimaklumkan IOC dan JOC (Jawatankuasa Olimpik Jepun), masih belum lagi ke arah itu (pembatalan) walaupun terdapat tekanan dalaman di negara Jepun itu sendiri.

"Jadi kami masih meneliti dan memantau rapat perkara ini.

"Tetapi saya tidak mahu mengurangkan semangat atlet dengan membuat andaian temasya itu akan dibatalkan.

"Jadi saya mahu mereka membuat persiapan seperti biasa," katanya.