Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi, menolak menyertai Piala Cabaran Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) di Kaherah, Mesir, sungguhpun boleh menjadi medan pemanas badan sebelum ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Salah satu sebabnya kerana kesuntukan masa.

"Kalau saya balik (ke Malaysia), perlu dikuarantin dua minggu. Walaupun (akan ditempatkan di pusat kuarantin) Kampung Pandan tapi saya tidak akan mempunyai pelatih di sana.

"Ia akan menjejaskan persiapan saya ke Sukan Olimpik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian, hari ini.

Namun, rutin latihan diteruskan dengan satu kejohanan simulasi sedang dirancang tatkala dia masih dalam rawatan mengatasi kecederaan ringan.

"Kami akan membuat persembahan ujian yang menggunakan peranti yang akan diadili pengadil dari Malaysia sahaja.

"Persiapan saya sangat bagus di sebalik mengalami kecederaan ringan.

"Tetapi semuanya dalam keadaan bagus kerana saya melalui fisioterapi untuk memastikan badan saya dalam keadaan terbaik."