Selepas gagal mempertahankan pingat emas acara beregu, atlet snuker negara, Thor Chuan Leong, tidak rela kehilangan emas saingan individu yang akan membuka tirai hari ini.

Permulaan kurang baik buat skuad snuker dan biliard negara selepas taruhan utama, Chuan Leong serta Moh Keen Hoo, gagal dalam misi mempertahankan emas beregu yang dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.

Cabaran mereka tersekat dalam separuh akhir selepas kecundang 3-2 kepada Singapura.

Justeru, mereka terpaksa berpuas hati dengan gangsa bagi saingan kali ini.

Lantaran itu, acara individu akan menjadi tumpuan utama buat Chuan Leong kerana dia juga merupakan juara bertahan acara itu.

Diletakkan selaku pilihan pertama, dia akan berdepan pemain Thailand, Phaitoon Phonbun, dalam pusingan pertama.

"Saya akan cuba yang terbaik.

"Saya tidak mahu tertekan untuk menghadapi aksi ini.

"Saya tidak tahu kebolehan yang dimiliki lawan kerana saya tidak beraksi di Thailand," ujar Chuan Leong.

Selain Chuan Leong, Keen Hoo juga akan membawa cabaran negara.

Begitupun, dia berdepan undian sukar kerana akan bertarung dengan naib juara temasya 2015, Ko Htet dari Myanmar.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.