"Misi seterusnya adalah Sukan Para Asia 2018!,"itu cabaran baru yang menjadi sasaran jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, selepas barisan anak buahnya beraksi cemerlang dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London yang berakhir semalam.

Dua emas dan satu perak, termasuk satu rekod dunia dan rekod kejohanan, adalah hasil yang dituai barisan anak buahnya di London, sepanjang14-23 Julai.

Sehubungan itu, Jeganathan menyasarkan Sukan Para Asia di Jakarta 2018 untuk meneruskan momentum kecemerlangan skuad para negara.

Ia dilihat satu kejohanan yang lebih kompetitif untuk barisan anak buahnya berbanding Sukan Para ASEAN, September nanti, memandangkan dua anak buahnya, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, sudah mampu menghadirkan cabaran buat atlet normal.

Tiga tahun lalu di Incheon, Korea Selatan, kontinjen para negara membawa pulang 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.

"Di Incheon, kami (olahraga) meraih 10 emas dan saya akan bagi lagi di Jakarta tahun depan. Tiada masalah untuk pasukan, kami akan melakukan yang terbaik," kata Jeganathan.

Dalam pada itu, Ziyad dan Latif tetap merendah diri untuk menghadapi Sukan SEA, bulan depan.

Walaupun hadir sebagai pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Para Dunia, ia bukan tiket untuk mereka mendabik dada, apatah lagi tahap saingan dalam Sukan SEA nanti lebih mencabar kemampuan mereka.

"Saya tidak mahu berjanji, tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi," kata Ziyad. "Saya takut nanti mengecewakan.

"Saya mahu katakan ini adalah pengalaman saya yang pertama menikmati Sukan SEA."

Pencapaian skuad negara dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London:

Emas

• Muhammad Ziyad Zolkefli
Acara : Lontar peluru F20
Catatan : 17.29m (Rekod dunia)

• Abdul Latif Romly,
Acara : Lompat jauh T20
Catatan : 7.37m (Rekod kejohanan)

Perak

• Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
Acara : 100m F36
Catatan : 12.15s (Rekod musim terbaik)