Persatuan Karate Sabah (SKA) akan menyusun semula program latihan skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

"Kami belum mengetahui tarikh yang ditetapkan, selepas ia diumumkan barulah kami boleh menyusun semula program latihan secara terperinci," kata setiausaha agung SKA, Julian Chin.

Bagaimanapun, Julian berkata atlet-atlet yang terpilih dalam senarai awal skuad Sukma Sabah masih menjalani latihan di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

"Kesemua atlet telah pulang ke kampung masing-masing dan diberikan program latihan oleh jurulatih sepanjang tempoh PKP.

"Ini bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik, termasuk kecergasan mereka.

"Bagaimanapun, ia sedikit sukar untuk melihat kemajuan mereka secara dekat, tambahan pula kami tidak tahu sejauh mana mereka boleh membuat latihan sepenuh masa kerana mereka juga mempunyai komitmen pembelajaran (secara atas talian)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Julian juga memaklumkan Kejohanan Karate Senior Kebangsaan di Sabah masih dalam pemerhatian sehingga diberitahu nanti.