Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, percaya dia dan rakan sepasukan sudah pun bersedia mental dan fizikal dalam menerima apa sahaja keputusan yang bakal berlaku dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Wanita Dunia di Brussels, Belgium, dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Sekian lama mempersiapkan diri, inilah masa yang dinanti-nanti buat skuad negara yang menggalas cabaran besar dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Bagi Amarina, sekarang bukan lagi masa untuk mereka terus berasa tertekan tetapi ia adalah saat di mana semangat merupakan elemen cukup penting dalam pasukan sebelum berlepas ke Belgium.

Apatah lagi, ia satu pengorbanan besar dilakukan mereka apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga demi negara.

"Memang perasan bercampur-baur, teruja dan amat gementar. Jadi, apa yang kami harus lakukan adalah yakin dengan diri sendiri dan percaya kepada pasukan yang mungkin akan memberikan keajaiban, Insya-Allah," katanya.

Tambah Amarina, meskipun tiada sasaran untuk tiga perlawanan persahabatan di Amsterdam sebelum ke Brussels nanti, ia tetap satu misi penting untuk mereka terus menilai prestasi semasa terlebih dahulu

"Kami pun akan bermain di Amsterdam dan ia adalah satu platform sebelum kami menghadapi perlawanan sebenar. Jadi, ia persediaan yang baik daripada segi mental dan fizikal."

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akan memulakan aksi di Brussels menentang pasukan nombor tiga dunia, Australia, pada 21 Jun sebelum bertemu Sepanyol, tuan rumah, Belgium dan New Zealand.

Sementara itu, skuad lelaki negara memulakan kempen separuh akhir Liga Hoki Dunia lebih awal di London, iaitu dengan menentang Argentina pada 17 Jun, diikuti England, Korea Selatan dan China.

Perlawanan boleh disaksikan secara langsung menerusi Astro Arena, 802HD & 801.