Pemain nombor satu dunia, Justin Rose, mengungguli Kejohanan Golf Terbuka Farmers Insurance dengan dua pukulan untuk kejuaraan Jelajah PGA ke-10 miliknya.

Pemain Inggeris itu merakamkan tiga di bawah par 69 dalam pusingan akhir untuk memenangi kejohanan di San Diego, California, itu hari ini.

Rose turun dalam pusingan akhir selaku pendahulu kejohanan dan dia mengekalkan kedudukannya biarpun dicabar Adam Scott untuk menamatkan saingan dengan mengumpul 21 di bawah par -- pemain pertama sejak Peter Jacobsen melakukannya pada 1995 untuk menyerlah dalam keempat-empat pusingan dengan catatan 60-an.

Rose bergelut untuk memulakan pusingan penentuan itu di tiga lubang pertamanya. Bagaimanapun, dia bangkit dengan birdie di lubang ketujuh dan kesembilan sebelum melakukan tiga lagi birdie selepas aksi di lubang kesembilan itu bagi memastikan kemenangan pertamanya dalam saingan Jelajah PGA sejak Mei 2018.

"Musim rehat saya kali ini adalah pendek," kata Rose, yang meraih kejuaraan ke-10 dalam Jelajah PGA untuk menjadi pemain Inggeris paling berjaya melakukannya, mengatasi pencapaian Nick Faldo.

"Saya tidak tahu bagaimana saya mengakhiri saingan ini. Ia sesuatu yang hebat untuk bermain dengan baik minggu ini."

Scott menduduki tempat kedua dengan mengumpul 19 di bawah par selepas mencatat empat di bawah par 68 di Lapangan Golf Torrey Pines itu manakala Hideki Matsuyama (67) dan Talor Gooch (68) membuat lebih tiga pukulan daripadanya.

Juara bertahan, Jason Day, pula mencatat 67 pukulan dalam pusingan akhir itu untuk menamatkan saingan di tempat kelima, berkongsi kedudukan dengan McIlroy (69) dan Jon Rahm (72).

Bintang Amerika Syarikat (AS) dan juara gelaran utama 14 kali, Tiger Woods, mencatat lima di bawah par 67 untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-20 dengan pencapaian keseluruhan 10 di bawah par.

Woods melakukan enam birdie dan satu bogey untuk mengakhiri penampilan pertamanya musim ini.