"Bukan waktu sesuai untuk letak sasaran," demikian kata jurulatih lari jarak jauh negara, Samuel Kipsang Rono, yang enggan meletakkan sebarang sasaran pingat untuk anak buahnya dalam Sukan SEA, 19-31 Ogos depan.

Menurut Rono, belum tiba masa untuknya mempertaruhkan sebarang emas kerana baru sembilan bulan mengendalikan skuad negara.

Jelasnya, barisan atlet yang berada di bawah jagaannya termasuk muka baru terikat dengan sesi kuliah, sehingga ada satu masa memerlukan mereka memendekkan waktu latihan.

Sehubungan itu, Rono tidak berani meletakkan sasaran pingat sehingga anak buahnya benar-benar mendapat latihan terperinci.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai sasaran kerana pasukan masih muda, sangat muda. Saya mesti melatih mereka perlahan-lahan," katanya.

Bagi atlet 3,000 meter lari berhalangan, Ahmad Luth Hamizan, dia selesa berada di bawah bimbingan Rono dan percaya jurulatih kelahiran Kenya itu mampu membantunya meraih pingat pertama dalam Sukan SEA kali ini.

"Jurulatih melihat dan menilai kami dalam beberapa peringkat, termasuk kejohanan sebelum Sukan SEA," katanya