Tonggak ping pong negara, Ashraf Haikal Rizal, mengubati kedukaan terlepas peluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menerima tawaran beraksi dalam Liga Kebangsaan Arab Saudi. ketika ini.

Jemputan untuk beraksi mewakili kelab Al-Fateh bukan sahaja menawarkan dia aksi kompetitif berharga, malah peluang untuk beribadah.

Dia sering mendapat peluang beraksi di Eropah tetapi penularan COVID-19 mengekang hasratnya pada kali ini.

"Bekas rakan sepasukan saya di Jerman ada bertanya sama ada saya berminat untuk saya membantu kelabnya naik ke peringkat lebih tinggi.

"Saya berpeluang bermain liga dan menyertai beberapa kejohanan di sana.

"Tetapi ketika ini Eropah tidak benarkan rakyat Malaysia yang tiada keperluan untuk ke sana," katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, sebentar tadi.





Begitupun, dia mendapat rezeki yang lebih baik tatkala Arab Saudi hanya membuka kuota haji pada tahun ini kepada warga tempatan sahaja.

"Saya beraksi di samping kenalan sementara pengurusan di sini juga sangat membantu.

"Mereka tahu saya seorang muslim, jadi mereka mahu bawa saya tunai umrah, haji.

"Jadi saya berpeluang untuk bersukan sambil beribadah.

"Bukan senang dapat peluang macam ini, (apatah lagi) dengan situasi pandemik ketika ini.

"Lagipun Arab Saudi tidak benarkan rakyat Malaysia datang tunaikan haji. Jadi saya berseorangan ke sini, alang-alang itu saya boleh ambil kesempatan ini.

"Insya-Allah kalau mereka boleh aturkan, ia satu rezeki buat saya."