Pemain ping pong veteran negara, Ng Sock Khim, terkenang waktu dia mula jatuh cinta dengan sukan ini menjelang kempen terakhirnya di pentas Sukan SEA.

Sock Khim berkongsi kisah bagaimana ping pong menjadi keseluruhan hayat dia sejak di bangku sekolah.

Sock Khim mengikut jejak langkah kakaknya, Ng Sock Chin, di SJKC Mah Wah, Gurun, Kedah dan bakatnya berjaya dicungkil oleh jurulatih bernama Koh Yong Kwong.

Pemain berusia 33 tahun ini berbangga dengan hakikat mentornya itu dapat menyaksikan dia beraksi di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 dan kini Kuala Lumpur 2017.

"Seawal peringkat persekolahan, sukan ping pong dan bola keranjang merupakan keutamaan di tempat kami.

"Pada masa itu, jurulatih saya mempunyai anak didik seramai 50 orang dalam satu sesi.

"Beliau masih lagi mengajar ping pong di Kedah dan setiap kali saya pulang ke sana, pasti saya akan berjumpa dengannya.

"Dia begitu berbangga dengan saya, apatah lagi kali ini saya akan beraksi sekali lagi di Kuala Lumpur," ujarnya.

Ping pong akan membuka tirai pada 20 Ogos di mana tujuh emas ditawarkan dan diharapkan atlet-atlet ping pong negara akan cemerlang di laman sendiri.