Impian untuk melihat dua wakil ping pong negara untuk meraih pingat dalam acara beregu campuran tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat suku akhir.

Selepas menampilkan aksi meyakinkan dalam pusingan pertama dan kedua, Ashraf Haiqal dan Lee Rou You menentang wakil Vietnam, Ding Quang Linh dan Mai Long My Trang.

Namun, perlawanan itu berlangsung sengit dan akhirnya wakil negara terpaksa akur dengan keputusan akhir 11-9, 6-11, 9-11,10-11.

"Kami mempunyai peluang yang lebih baik dalam perlawanan tadi tetapi kesilapan mudah membuatkan kami terpaksa mengejar kedudukan," kata Ashraf.

Rakan gandingan Ashraf, Rou You sempat menyatakan punca mereka gagal mengatasi lawan dengan berkata, "Kami sepatutnya mengurangkan bola pendek yang menjadi kelemahan kami."

Satu lagi wakil negara, Ng Sock Khim bergandingan dengan Shakirin Ibrahim pula seakan-akan hilang punca apabila mudah dijinakkan lawan dari Thailand, Padasak Tanviriyavechakul dan Suthasini Sawettabut.

Mereka tewas 1-11, 7-11, 6-11.

"Kami terlalu fikir untuk menang sehingga terlalu cepat ingin mematikan bola.

"Saya tidak tahu mengapa persembahan kami tidak berapa menjadi hari ini," kata Ashraf.