Denis Shapolavov dan Alexander Zverev menemani Roger Federer dan Robin Haase ke separuh akhir Piala Rogers ATP, selepas melakar kemenangan dalam suku akhir, hari ini.

Selepas mengejutkan Rafael Nadal dan Juan-Martin del Potro, momentum Shapovalov berterusan kali ini, dengan bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang 2-6, 6-3, 6-4.

Dia akan berdepan pemain generasi baru ATP, Zverev, yang turut mara selepas mengetepikan cabaran Kevin Anderson 7-5, 6-4.

Susulan kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Roberto Bautista Agut, Federer bakal berdepan Haase, yang menewaskan Diego Schwartzmann 4-6, 6-3, 6-3.

Kecekalan Shapovalov menjadi fokus utama hari ini selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mengatasi pemain ranking ke-42 dunia itu.

Pemain berusia 18 tahun itu kembali menemui sentuhan sebaik kembali ke gelanggang selepas perlawanan dihentikan sementara disebabkan hujan.

Dia kini pemain termuda dalam sejarah separuh akhir ATP 1000 di ranking ke-143, ranking terendah sejak 2003 apabila Andrei Pavel berjaya mara ke final di Paris.

Sementara itu, Zverev sedikit bergelut ketika melakukan servis apabila melakukan tujuh double faults, namun berjaya mengekang asakan Anderson untuk menang straight sets.

Pemain berusia 20 tahun dari Jerman itu berjaya mengutip mata penting, sekaligus melakar kemenangan kelapan berturut-turut.

Federer kekal menjadi pemain pilihan susulan mendominasi perlawanan berdepan Bautista Agut.

Juara 19 kali grand slam itu memenangi 81 peratus daripada servis pertamanya.

Dalam landasan untuk meraih kejuaraan Piala Rogers ketiga dalam kariernya, legenda Swiss itu bakal berdepan Haase, yang berjaya melangkah ke separuh akhir ATP 1000 buat julung kalinya.