Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, menjelaskan akan sentiasa bersifat terbuka terhadap Fatehah Mustapa yang berpengalaman selama 17 tahun dalam arena berbasikal trek.

Pelumba wanita itu, yang sepanjang karier telah menyumbang dua pingat emas dalam Kejohanan Asia dan tiga emas Sukan SEA selain membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik London 2012, mengumumkan persaraannya secara rasmi di Facebook hari ini



"Keputusan ini agak mengejutkan setelah dia diberikan peluang pada tahun lalu.

"Tetapi kami sedia berbincang dengannya untuk melihat pilihan dan apakah hala tujunya selepas ini.

"ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa terbuka kepada atlet yang dalam fasa peralihan persaraan, terpulang kepadanya.

"Sekiranya dia berhasrat menjadi jurulatih, banyak kaedah yang boleh kami bantunya, antaranya melalui akademi ISN, kursus berbasikal dan sains sukan," katanya dalam satu temu bual menerusi video.

ISN akan menghulurkan segala bentuk bantuan seperti psikologi, penjagaan prestasi dan merangka perjalanan atlet selepas bersara termasuk peralihan selaku jurulatih.