Nasib skuad olahraga negara seakan-akan "sudah jatuh ditimpa tangga".

Sehari selepas ketua jurulatihnya, Mansahar Abdul Jalil, disahkan positif COVID-19, pejabat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di ibu negara pula terpaksa ditutup selama dua minggu selepas pengurus besarnya turut dijangkiti dan tiga kakitangan lain terpaksa dikuarantin sebelum menjalani ujian saringan.

Bagaimanapun, KOM difahamkan akan tetap meneruskan perancangan menghantar 12 atletnya menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan bulan depan.

"Pengurus besar kami didapati positif COVID-19 semalam dan pejabat KOM juga akan ditutup secara sementara selama 14 hari," kata Presiden KOM, Datuk S.M Muthu, kepada Nadi Arena.

"Segala tugas kami akan dilakukan daripada rumah.

"Saya harap tiada apa-apa masalah (untuk atlet ke Terbuka Kazakhstan). Kami telah memohon kebenaran daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

"Jika tiada sebarang masalah, kami akan menghantar semua atlet ke Kazakhstan," katanya.