Pelumba basikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, menamatkan acara lebuh raya C1-3, Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di tempat ke-33 daripada 39 peserta hari ini.

Atlet berusia 23 tahun berkenaan menamatkan perlumbaan dalam cuaca hujan di Fuji International Speedway itu dengan ketinggalan satu pusingan berbanding pelumba di kelompok depan.

Sebagai rekod, ini merupakan acara kedua Yusof Hafizi dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan Paralimpik selepas menduduki tempat kelima acara ujian masa C1 kelmarin.

Dua pelumba Great Britain, Benjamin Watson (2:04:23s) dan Finlay Graham (2:05:43) menduduki dua tempat teratas untuk masing-masing memenangi pingat emas dan perak.

Gangsa pula menjadi milik peserta Perancis, Alexandre Leaute, dengan catatan 2:11:06s.