Ridzuan Puzi melutut hiba dalam hujan renyai di atas balapan sebaik menyudahkan acara 100m T36, Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sebentar tadi di tempat keempat.

Penyandang juara lima tahun lalu mencecah usia 34 tahun itu memecut deras dalam 50 meter terawal sebelum dipintas seorang demi seorang lawannya untuk catatan 12.15s di Stadium Olimpik berkenaan -- jauh daripada rekod terbaiknya, 11.87s.

Wakil China, Yang Yifei -- yang menamatkan larian semalam di belakang Ridzuan yang mengungguli saringan 1 -- bagaikan mendapatkan suntikan tenaga baru ketika menuju garisan penamat untuk merakamkan 11.85s.

Juara dan pemegang rekod dunia, James Turner, dari Australia yang melakukan 11.72s semalam, di tempat kedua sementara Alexis Sebastian Chavez (Argentina) meraih gangsa dalam kalangan lapan peserta itu.

Sementara itu, kecederaan menghalang Jonathan Wong daripada meneruskan saingan lompat jauh.

Atlet dari Sabah itu tampak bergelut dan terpaksa menarik diri selepas percubaan keempatnya sementara dua lompatan awalnya turut dibatalkan.