Perenang para negara, Brenda Anellia Larry, mendedahkan bahawa dia berasa kecewa tidak dapat ke final acara 50 meter kuar kupu-kupu wanita S4, Sukan Olimpik Tokyo 2020 meskipun memecahkan rekod Asia di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Atlet kelahiran Sabah yang baru berusia 16 tahun itu menamatkan saringan kedua dengan catatan 1:00.62s tetapi menduduki tempat terakhir, sekali gus tidak berada dalam kelompok lapan perenang terbaik yang layak ke final.

Secara keseluruhan, dia menduduki tempat ke-13 daripada daripada 14 peserta.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, dia berkata: "Sasaran saya hanyalah untuk memperbaiki catatan masa dan layak ke final. Sebenarnya, ia memang acara kegemaran saya, jadi saya memang agak kecewa kerana tidak dapat apa yang saya mahukan.

"Saya sudah mula berasa gugup sejak kelmarin, ia sehingga saya berasa sakit perut. Mujur tidur saya tidak terlalu terganggu.

"Sebelum perlumbaan, saya berasa sukar untuk bernafas dan selepas menamatkan renangan barulah saya berasa lega.

"Saya memang gembira (dapat memecahkan rekod Asia) tetapi agak kecewa kerana sasaran saya adalah sesuatu yang jauh lebih baik daripada itu," katanya.