Negara seperti Indonesia dan Thailand bakal menjadi rujukan Majlis Paralimpik Malaysia selepas berjaya menggondol pingat emas dalam sukan yang menawarkan banyak pingat, antaranya olahraga dan renang di temasya Para ASEAN 2023.

Edisi ke-12 melabuhkan tirai dengan kontijen negara berjaya meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 35 pingat gangsa.

Jumlah itu melebihi 33 pingat emas yang disasarkan untuk tamat di kedudukan keempat secara keseluruhan.

Tanpa dibarisi juara dunia seperti Datuk Latif Romly, Cheah Liek Hou dan Ziyad Zolkefli, membuktikan barisan atlet sedia ada mampu menggalas tanggungjawab dengan program akar umbi menampakkan hasil di Kemboja.

"Malaysia mungkin mengikut langkah sama seperti Thailand dan Indonesia, mereka menghadirkan atlet baru dan berpengalaman dalam temasya ini. Ia boleh menjadi langkah yang boleh diambil bagi edisi akan datang dalam menghadirkan pingat," kata Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman.

"Saya mengharapkan kontinjen yang lebih besar dapat dibawa dalam temasya akan datang sekaligus semua pihak harus membantu meningkat serta memperkembangkan lagi bakat atlet para di Malaysia untuk dibawa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa."