Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menyahut cabaran untuk menggalas tugas selaku prospek pingat Sukan Olimpik Tokyo, bermula 23 Julai ini.

The pocketrocketman menganggap persiapan ke Tokyo jauh lebih baik berbanding tiga penampilan terdahulu terutama bersama basikal WX-R berharga RM300,000.

Azizulhasni tidak menyembunyikan sasaran bahawa dia memburu pingat emas di Tokyo, pelumba berusia 33 tahun itu sudah bersedia daripada semua aspek dan melakukan persiapan rapi sejak meraih dua pingat gangsa Kejohanan Dunia 2020.

Ranking kelima dunia acara keirin dan pecut individu itu turut diletakkan antara 10 atlet dijangka mampu menggegar Olimpik Tokyo oleh akhbar Australia.

"Selepas 10 tahun meraih pengalaman, ia akan digunakan sebagai satu perkara yang positif dalam persiapan menjelang Sukan Olimpik," kata Azizulhasni.

Keyakinan sama dilontarkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, di mana dia antara tiga acara badminton yang dijangka mampu meraih pingat Olimpik Tokyo.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut meletakkan beregu lelaki dan beregu campuran sebagai harapan terbaik badan induk itu selepas meraih tiga perak di Rio 2016.

"Menjadi pemain elit, mengatasi lawan yang di ranking adalah sesuatu yang perlu dilunaskan," kata Zii Jia.

Kementerian Belia dan Sukan turut menyasarkan acara terjun sebagai prospek pingat kontinjen Malaysia.

Seramai 30 atlet akan mengibar cabaran di Tokyo menjelang upacara pembukaan temasya, 23 Julai ini.