Malaysia menggondol pingat emas dalam lempar cakera wanita Terbuka Kazakhstan menerusi Choo Kang Ni, hari ini.

Dia menyertai kejohanan olahraga itu selepas berpisah dengan jurulatihnya sejak dua bulan lalu. Ketiadaan rakan sepelatih, Irfan Shamsuddin, yang menarik diri pada saat-saat akhir akibat kecederaan juga tidak menjejaskan lemparannya sejauh 43.65 meter.

"Saya terpaksa bergantung dengan diri sendiri, saya perlu belajar semua perkara. Ia satu pengalaman yang baik untuk saya, lagipun saya ada mendapatkan nasihat sebelum ke mari.

"Kehadiran saya di sini membolehkan saya untuk menilai kelemahan, apa yang boleh ditingkatkan lagi dan aspek yang perlu ditumpukan.

"Ia persiapan yang bagus untuk menghadapi Sukan SEA (Hanoi, hujung tahun ini).

"Saya menyasarkan untuk menaiki podium," katanya kepada wartawan, Bazly Azmi, di Nadi Weekend sebentar tadi.

Sementara itu, jaguh 110 berpagar negara, Rayzamshah Wan Sofian, mencatat masa terbaik musim ini dengan melakar 14.18 saat untuk meraih gangsa sementara emas dan perak milik wakil tuan rumah.




Walaupun gangsa, catatan itu lebih baik berbanding ketika menjuarai 'Grand Prix (GP) Malaysia, April lalu, yang menyaksikan pelari kelahiran Sabah itu merakamkan 14.50 saat.

Malah, ia petanda positif dalam usahanya merampas kembali emas Sukan SEA.

Pelari pecut 100m, Jonathan Nyepa, pula meraih tempat kedua 100m dengan catatan 10.64s.




Keputusan lain:

Final 400m
Ilham Suhaimi: 48.47s