Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, pastinya lega apabila seramai lapan atlet skuad olahraga masih dibenarkan menyertai Kejohanan Terbuka Kazakhstan yang akan memulakan cabaran pada Sabtu ini.

Ia susulan dua pelari pecut negara dihalang daripada meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dikesan positif COVID-19.

Skuad negara tidak perlu menjalani ujian COVID-19, 'PCR', sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty namun diarah melakukannya ketika mahu meninggalkan negara terbabit.

Keputusan itu cukup melegakan kerana berdasarkan makluman awal, kawalan pergerakan skuad negara akan diperketatkan ekoran wujud kes positif dalam kalangan mereka.

ini juga bermakna hup wei dapat meneruskan usaha melepasi had kelayakan olimpik, 2.33m atau memperbaiki kedudukan ranking ke-26 kelayakan temasya ketika ini.

"Saya memang yakin dengan kejohanan ini sebab ia sememangnya dalam perancangan.

"Kami tiada kontak rapat dengan Haiqal (Hanafi) dan Khairul (Hafiz Jantan) sebab mereka berdua datang dari Johor.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ada mendapatkan pengesahan kami mengenai kontak rapat dengan mereka sebelum kami dibenarkan berlepas," kata Hup Wei.

Pengurus negara, Datuk Wan Hisyam Wan Salleh, pula percaya kejadian itu tidak mematahkan semangat juang atlet untuk mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Apabila mengalami kesukaran dan cabaran, ia akan memberi semangat (kepada atlet).

"Semua atlet dalam keadaan bersemangat. Mereka mahu mencuba yang terbaik," katanya dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.





Saingan di Almaty itu kelak akan turut menampilkan Muhammad Irfan Shamsuddin dan Connie Chu (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Tidak ketinggalan pelari pecut 100m, Jonathan Nyepa, selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), dan seorang lagi peserta lompat tinggi, Yap Sean Yee.

Tambahnya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mempunyai perancangan bagi memastikan kebugaran atlet dalam perjalanan jauh selama 12 jam itu.

"Paling penting adalah Lee Hup Wei, kami perlu pastikan dia dapat kekalkan prestasi untuk raih mata layak ke Sukan Olimpik.

"Kami merancang inisitaf untuk mengadakan sesi regangan selama sejam memandang kawasan lapangan terbang yang kurang sesak."