Jonathan Nyepa bakal mencabar Raja Pecut Asia Tenggara, Mohd Haiqal Hanafi, apabila kedua-duanya mengesahkan penyertaan dalam acara 100 meter ujian simulasi di Trek Majlis Sukan Negara (MSN) hujung minggu ini.

Ia akan menjadi penampilan sulung Haiqal dalam acara reben biru sejak meraih pingat emas Sukan SEA 2019.

Penampilan Jonathan dan Haiqal bakal menjadi tarikan utama aksi simulasi kedua skuad olahraga negara itu di Bukit Jalil.

Mereka mewakili negara dalam Sukan SEA di Filipina tahun lalu yang yang menyaksikan Haiqal ditabalkan juara dengan catatan 10.35 saat sementara Jonathan di tangga keempat.

Lebih menarik, ini kali pertama mereka berentap selepas setahun.

"(Peluang) bersaing dengan Haikal Hanafi adalah saingan yang sangat bagus.

"Kami berlatih bersama-sama jadi tiada masalah, ia akan menjadi satu perlumbaan yang bagus untuk mengukur prestasi kami," kata pelari dari Sarawak itu ketika diwawancara wakil Astro Arena, Bazly Azmi.


MALE WORLD ATHLETE OF THE YEAR? Mondo Duplantis has been crowned the Male Athlete of the Year at the 2020 #WorldAthleticsAwards.

Posted by World Athletics on Saturday, December 5, 2020


Persaingan hujung minggu ini sepatutnya lebih menarik jika tidak kerana beberapa pelari pecut menarik diri.

Nixon Kennedy selaku pemenang emas 60m kejohanan simulasi bulan lalu antara yang menarik diri bagi acara 100m menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, bulan depan, yang menawarkan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami fokus untuk membentuk tahap ketahanan sebagai persiapan tahun depan jadi pecutan bukan keutamaan ketika ini.

"Saya akan menyertai 200m," kata Nixon.

Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, pula sekadar menjadi penonton hujung minggu ini atas perancangan yang diketengah Pengarah Teknikal Olaghraga kebangsaan kelahiran Amerika Syarikat, Dwayne Miller.

"Dia tidak akan berlari. Dia masih di peringkat pembinaan dan adalah penting untuk memastikan dia kekal sihat.

"Dia tidak cedera tetapi dalam pembentukan bagi mengelakkan mudah tercedera seperti sebelum ini.

"Dia masih berlatih dan kami tidak terburu-buru ke atasnya.

"Saya tidak mahu sebaik mereka mula bersaing, kemudian mereka tergendala (akibat kecederaan)," kata nya.