Keyakinan atlet muay thai negara, Ain Kamarrudin, semakin memuncak untuk memenangi pingat emas Sukan SEA kategori 57 kilogram selepas menewaskan lawan dari Kemboja, Lao Chetra, dalam aksi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Ain menerima tentangan sengit Lao yang turun ke gelanggang dengan misi untuk menundukkan lawannya dengan keputusan knock out.

Walaupun Ain kerap ditumbuk beberapa kali di bahagian muka, atlet negara itu tetap berjaya memenangi pusingan pertama dengan mata 10 berbalas 9.

Lao turun ke pusingan kedua dengan taktik yang sama, namun tetap gagal mengatasi kutipan mata Ain yang terus mendahului 20-18 dan atlet dari Kelantan itu terus bertahan dalam pusingan terakhir sebelum menamatkan aksi dengan keputusan 29-28.

Kejayaan itu ternyata menaikkan semangatnya untuk memenangi emas bagi arwah bapanya yang meninggal dunia lima hari lalu.

"Arwah selalu menyokong saya sejak saya mula mengenali sukan muay thai sehingga ke akhirnya. Dia menjadi penyokong utama saya. Tidak kira di mana saya berlawan, dia sanggup datang walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.

"Ini kali pertama dia tidak bersama saya," kata Ain.

Ain akan turun bertemu Thachtana Luangphon dari Thailand dalam aksi final, hari ini.

Bagi kategori 51-54kg, seorang lagi wakil negara, Mohd Ali Yaakub, turut mara ke final selepas menundukkan wakil Kemboja, Vann Vouern, dengan keputusan 30-27, sekaligus mengesahkan tempat di pentas akhir, bertemu Surachai Nakthaem dari Thailand.

Dia yakin berbekalkan sokongan padu penyokong tempatan, kejayaan pasti akan diraih.

"Saya lebih yakin dalam perlawanan kedua ini hasil daripada sokongan penonton dan mak ayah.

"Saya akan cuba menyerang habis-habisan dalam pusingan pertama dan kedua serta cuba mengekalkan kutipan mata dalam pusingan ketiga," ujarnya.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.